Senin, 03 Maret 2014

Pemuda Rentung Dalam Kebakaran Di Telupid


BELURAN – Seorang pemuda rentung manakala seorang lagi melecur dalam kebakaran sebuah rumah dan stor penyimpanan diesel di Kampung Gambaron 2 di Telupid kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Sahar Mohd Hatta, 26, manakala Rahmat Misse, 25, yang melecur kini menerima rawatan di Hospital Duchess of Sandakan dan dilaporkan stabil.

Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Ordine Gilu berkata sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.59 malam.

Katanya, anggota bomba diketuai Pegawai Operasi Bernadius Jacob hanya tiba di tempat kejadian pada jam 9.27 malam disebabkan lokasi kejadian terletak jauh kira-kira 99 kilometer dari Kinabatangan.

Menurutnya operasi memadam api tamat pada jam 9.50 malam dan mayat mangsa ditemui rentung di bawah sisa rangka rumah yang musnah terbakar.

Beliau berkata punca kejadian dan anggaran kerugian sedang disiasat. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar